Sunday, June 21, 2009

सुम्पः CINTA-EP3

Setelah habis kuliah, Afif keluar begitu sahaja dari dewan kuliah. Dia cuba melupakan gadis yang dilihatnya tadi. Dia cuba meyakinkan dirinya tidak jatuh cinta pada gadis tersebut. Baginya tidak semudah itu hatinya bisa terjerat dengan melihat wajah gadis itu.
Afif berjalan menuju ke keretanya. Dia mahu menghilangkan rasa gundah di hatinya itu. Dia sendiri tidak tahu mahu ke mana. Lancer Mitsubishi yang dipandunya hanya bergerak mengikut gerak hati Afif. Semakin dipandu semakin tidak tahu ke mana harus dia menuju. Tiba-tiba keretanya berhenti di suatu tempat. Tempat di mana Nurul Hanis disemadikan. Afif keluar dari keretanya. Dia melangkahkan kakinya ke kubur arwah Nurul Hanis. Kelihatan kubur Nurul Hanis tumbuh dengan lalang dan penuh dengan daun-daun kering. Sudah begitu lama Afif tidak mengziarahi kubur arwah kekasihnya itu. Dia mencabut lalang-lalang yang tumbuh di sekitar kubur itu dan membuang daun-daun kering yang bertaburan di atas kubur Nurul Hanis. Air mata pilu yang sudah lama disimpan di benak kerinduannya itu tiba-tiba mencurah keluar membasahi pipinya. Hatinya tiba-tiba menjadi hiba. Jiwanya bertukar lara.
Nurul Hanis, insan pertama yang bertakhta di hatinya. Gadis pendiam dan sering mengalah dalam segala hal menjadikan Afif begitu sayang padanya. Saat pertama kali bertemu ketika di bangku sekolah diwaktu itu Nurul Hanis adalah pelajar baru di tingkatan lima di sekolahnya membuatkan Afif menjadi tidak keruan. Nurul Hanis adalah salah satu pelajar yang paling jelita di sekolah tersebut. Disebabkan itu juga dia menjadi kegilaan ramai pelajar lelaki dan sering diusik oleh mereka. Afif yang tidak suka Nurul Hanis diusik oleh pelajar-pelajar lelaki sering melindungi Nurul Hanis di mana sahaja Nurul Hanis berada sehinggakan Afif pernah bertumbukan dengan pelajar lelaki lain kerana mengusik Nurul Hanis. Hubungan mereka menjadi akrab kerana Nurul Hanis selesa dengan Afif dan merasakan Afif tidak seperti lelaki lain. Mereka berkawan rapat sehinggalah Afif meluahkan perasaannya pada Nurul Hanis sewaktu mendapat keputusan SPM. Di saat itu juga mereka mula membina hubungan mereka sebagai pasangan kekasih kerana Nurul Hanis begitu menghargai kehadiran Afif dalam hidupnya.
Hari demi hari, minggu berganti minggu, mereka bersama menjalin cinta sejati. Tiada kata yang mampu diucapkan lagi untuk menyatakan perasaan cinta antara mereka berdua. Kesetiaan serta kejujuran membuatkan hubungan mereka menjadi lebih bermakna dan membawa seribu erti dalam hidup mereka. Nurul Hanis, hanya itulah yang bermain di minda Afif walau di mana dia berada. Begitu juga dengan Nurul Hanis, kasih sayang yang dicurah oleh Afif dirasakan amat bernilai sehinggakan ia melimpah di segenap ruang hidup dan jiwanya.
Nurul Hanis ditawarkan mengikuti jurusan kedoktoran di luar negara manakala Afif pula mendapat tawaran diploma dalam pengurusan perniagaan di universiti tempatan. Walaupun Nurul Hanis terpaksa berjauhan dari Afif namun Afif memberi sepenuh kepercayaan pada Nurul Hanis untuk membuat pilihan terbaik dalam hidupnya. Nurul Hanis pula tidak sampai hati meninggalkan Afif di Malaysia sementara dia terpaksa terbang ke negara orang. Namun Afif menasihati Nurul Hanis agar tetap meneruskan impiannya menjadi seorang doktor kerana itu juga harapan kedua ibu bapa Nurul Hanis.
“Hanis, awak tak perlu risau. Saya tahu sejauh mana pun awak pergi awak tak akan lupakan saya. Saya ada di hati awak begitu juga awak di hati saya. Walaupun kita berjauhan, tapi di hati awak ada saya dan di hati saya ada awak.”

No comments:

Post a Comment